Rabu, 4 Februari 2009

cinta menuju Ilahi

Assalamualaikum....
Bismillah
Alhamdulillah

Percintaan Antara Lelaki dan Perempuan. Sebuah rumahtangga yang bahagia adalah yang terbina di atas dasar mawaddah/kasih dan rahmah/saying diantara pasangan lelaki dan wanita. Mawaddah/kasih terjalin di usia-usia remaja manakala rahmah/sayang pula akan mula berputik apabila usia hubungan semakin meningkat. Untuk mentafsirkan kalimah cinta adalah suatu pekerjaan yang sukar. Ianya adalah suatu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah ke atas kita. Maka hairan sekali jika kita mendapati ada suara-suara yang berani mengatakan bahawa cinta antara lelaki dan wanita adalah sebuah dosa dan boleh menjejaskan hubungan antara hamba dan Khaliq.

Sabda Nabi s.a.w apabila mengenangkan isteri-isteri baginda:
"Ya Allah, inilah bahagianku daripada apa yang aku miliki, maka janganlah Engkau memurkaiku terhadap apa yang Engkau miliki dan tidak aku miliki.."
(hadis riwayat Imam-imam sunan.)

Yakni Nabi s.a.w. sebagai seorang manusia biasa tidak dapat mengawal perasaan cintanya yang lebih terhadap isteri baginda Aishah r.a. daripada isteri-isteri baginda yang lain. Maksud daripada hadis tersebut ialah seseorang manusia tidak memiliki hatinya (tidak mampu mengawal perasaan hatinya) daripada perasaan marah, gembira, rindu, sedih dan cinta. Semuanya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t.

Al-maklum, Islam adalah kalimah Allah yang terakhir, penutup kepada segala risalah. Ia datang dengan syariat yang umum, abadi, sesuai untuk semua rantau, semua zaman dan semua manusia. Ianya dilengkapi dengan dua asas utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta usul-usul yang terbina di atas dasar keduanya. Berbeza dengan agama lain yang mengecualikan agama dengan kehidupan seharian. Kita sedia maklum mengenai perihal paderi-paderi dan sis-sis Kristian serta sami-sami Budha yang mana mereka semua terlarang dari bercinta dan berkahwin di atas pendapat ianya merosakkan hubungan mereka dengan tuhan mereka, dan kita semua sebagai umat Islam berlindung daripada terpengaruh dengan pendapat-pendapat para seteru Allah s.w.t. itu.

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:
" Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismua sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. "
(Ar-Ruum 21)

Islam memberkati setiap hubungan percintaan di antara lelaki dan wanita selagi mana ianya berpandukan hukum syara' dan tidak melampaui hadnya, serta cita-cita mereka adalah untuk membina rumahtangga dan bukan di atas dasar sekadar untuk bersuka-suka.


Wajib bagi setiap pasangan yang bercinta agar menyatukan antara cinta dan Akhlak kerana cinta adalah naluri kecenderungan antara dua jantina yang berbeza manakala akhlak pula adalah sebagai benteng yang menghalang dari berlakunya perkara yang melampaui batas.

Islam meletakkan akhlak dan batasan tertentu kepada naluri semulajadi adalah sebagai penghargaan kepada sifat makhluk manusia. Dan di sinilah tersembunyinya rahsia mengapa manhaj Islam tersendiri dari lain-lain manhaj ciptaan manusia.

Antara garispandu yang wajib kita taati di dalam hubungan percintaan antara lelaki dan perempuan ialah penjagaan batas-batas aurat. Sabda Nabi s.a.w.:
"Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, dan begitu juga perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain. "
(hadis riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan Tarmizi.)

Sabda Nabi s.a.w. lagi:
"Sesungguhnya wanita itu adalah aurat. "

Aurat seorang lelaki adalah diantara pusat dan dua lulut manakala aurat perempuan pula adalah seluruh tubuh melainkan muka dan tapak tangan.

Firman Allah s.w.t. yang mana membawa erti:
"Dan janganlah perempuan-perempuan menampakkan perhiasannya melainkan apa yang biasa nampak daripadanya. "
(An-Nur 31)

Yang dimaksudkan dengan perhiasan perempuan ialah apa sahaja yang dipandang cantik pada seorang perempuan, sama ada ianya ciptaan asli seperti wajah, rambut, suara dan potongan badan atau buatan seperti subang, gelang, cincin, gincu dan sebagainya.

Ulama-ulama bersepakat bahawa erti kata perhiasan yang biasa nampak di dalam ayat suci di atas ialah wajah dan dua tapak tangan (sahaja) dan apa yang biasa di pakai pada keduanya seperti cincin dengan tidak ada maksud kesombongan dan berlebih-lebihan.

Disyariatkan pengharaman memandang anggota-anggota aurat di dalam Islam adalah sebagai langkah untuk memelihara manusia daripada perkara yang menggerakkan naluri dan mengobarkan keinginan hawa nafsu mereka.

Firman Allah s.w.t.:
"Dan katakanlah kepada para mukmin; jatuhkanlah pandangan kamu (dari memandang perkara yang tidak halal dipandang). "
(An-Nur 30)

"Dan katakanlah kepada para mukminat; jatuhkanlah pandangan kamu."
An-Nur 31
Pandangan adalah pembangkit atau penggerak nafsu syahwat, ianya adalah jendela yang boleh dilalui oleh factor keinginan dan minat. Allah s.w.t. telah menciptakan mata itu sebagai cermin bagi hati, maka apabila seseorang menutup pandangannya maka hati pun akan tertutup nafsunya.

Sabda Nabi s.a.w. :
"Setiap kali seseorang muslim terpandang kecantikan seseorang perempuan lalu ia memalingkan pandangannya dari situ, maka Allah akan membaharukan untuknya satu ibadah yang kemanisannya terasa di dalam
hatinya. " (hadis riwayat Ahmad dan Tabrani)

Sesungguhnya pertimbangan kejiwaan yang lengkap yang ditunjukkan oleh Islam berkaitan perintah menutup aurat dan naluri malu manusia, tiada bandingannya dengan mana-mana peradaban di dunia. Sehinggalah di kalangan umat yang paling maju sekalipun lelaki-lelaki dan perempuan-perempuannya tidak segan silu hendak membuka mana-mana bahagian tubuh mereka berdasarkan pandangan mereka bahawa pakaian hanyalah semata-mata perhiasan, bukan pelindung. Di dalam Islam ternyata tugas utama pakaian ialah sebagai memberi perlindungan kepada tubuh, bukan perhiasan.

Perlu di tekankan di sini bahawa baju T-lengan pendek adalah haram dipakai bagi seorang wanita di hadapan lelaki ajnabi, begitu juga sebarang pakaian yang ketat atau nipis atau terlalu lembut sehingga boleh menampakkan sebahagian susuk tubuh.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Hendaklah mereka (perempuan-perempuan) itu melabuhkan tudung mereka sampai ke dada. " (An-Nur 31)

Islam mengharamkan apa juga jenis godaan yang boleh membangkitkan nafsu dan menyebarkan fitnah. Kesemua itu dengan tujuan untuk membolehkan manusia hidup di dalam massyarakat yang bersih tanpa ada pengaruh luar ke atas sarafnya.

Masyarakat yang menolong manusia menempuh jalan fitrah, masyarakat yang menentukan coraknya, bukan individu yang menentukan corak masyarakat itu. Oleh kerana itu pendirian Islam amat tegas terhadap faktor-faktor yang boleh membawa kepada kerosakan masyarakat. Berasaskan prinsip inilah para ulama telah menetapkan kaedah " setiap perkara yang membawa kepada haram maka ia adalah haram. "

Oleh itu, Islam melarang percampuran bebas antara lelaki dan wanita sebagai langkah awal untuk mengelakkan dari godaan dan hasutan hawa nafsu. Pada hakikatnya percampuran bebas antara kedua jenis itu adalah langkah pertama yang membawa masyarakat barat ke dalam keadaan tidak berperasaan malu dan bermaruah hari ini.

Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya kira-kira:
"Apabila seseorang lelaki itu bersendirian dengan seorang wanita(yang bukan muhrimnya) maka syaitan adalah yang ketiga di antara mereka" (hadis riwayat Tirmizi.)

Lagi sabda Nabi s.a.w. :
"Sekiranya seseorang bersesak dengan babi, berlumuran dengan lumpur atau tanah kotor, maka ianya adalah lebih baik dari bergesel bahu dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya. "
(petikan dari hadis riwayat Tabrani.)

Begitulah ketegasan Nabi s.a.w. di dalam melarang umatnya bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan. Larangan bergaul bebas tanpa sebarang tujuan yang munasabah ini adalah meliputi sama ada di khalayak ramai atau pun bersendirian. Ini termasuklah antaranya bercampur bebas di dalam majlis-majlis keramaian atau berduan-duaan menonton di pawagam yang gelap, berdua-duaan menaiki kereta dan sebagainya lagi yang melibatkan pergaulan sesama bukan muhrim. Islam telah meletakkan hadnya yang tertentu di dalam pergaulan sesama bukan muhrim, sehinggakan seorang wanita yang hendak pergi menemui tunangannya pun haruslah ada muhrim yang menemaninya bagi
mengelakkan berlakunya fitnah.

Kesimpulan :

1. Cinta adalah sebuah perasaan yang wujud pada setiap manusia dan ianya adalah fitrah hidup dan tidak dapat dielak.

2. Menjadi kewajipan kepada setiap pasangan percintaan antara seorang lelaki dan wanita agar menghiasi cinta mereka dengan akhlak-akhlak yang telah digarispandukan oleh Islam.

3. Cinta semata-mata tanpa akhlak akan membawa kepada kerosakan pada diri pasangan.

4. Haram setiap percintaan yang dibina di atas dasar sekadar suka-suka, bahkan perlulah diletakkan perkahwinan sebagai tujuan utamanya.


" Rabbana hablana min azwaajina wa zurriyyatina qurrata a'yun waj'alna lilmuttaqiina imaama "

" Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami, dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertaqwa . "
(Al-Furqaan 74)

1 ulasan:

ina nailofar berkata...

salam kerinduan berutus senyuman akakku...

berbicara tentang cinta ya???huhu...

sj r nk tumpang lalu nie...hihi